Apabila menyebut tentang harta intelek, masih ramai individu kurang memahami mengenai kepentingan perkara tersebut. Malah, ada yang beranggapan masalah berkaitan harta intelek bukan satu isu penting dan tidak membawa apa-apa makna dalam pembangunan sesebuah negara.
Disebabkan itulah terdapat segelintir pihak bertindak sewenang-wenangnya 'mencuri' hak orang lain dan mengaut keuntungan di atas apa yang diusahakan oleh pihak yang bersusah-payah menghasilkan karya tersebut.
Apakah yang dimaksudkan dengan harta intelek.
“Adalah hasil ciptaan minda; reka cipta, karya sastera dan seni, simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan.”
Kategori Harta Intelek
• Paten-Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap sesuatu rekacipta sama ada satu produk atau proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu atau untuk penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah.
• Cap Dagangan (trademark) - Tanda yang diletakkan pada barang atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh seseorang pengeluar untuk mengenal dan membezakannya daripada barang atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak lain. Contohnya: SONY, NOKIA, Logo UTM dan sebagainya
• Hak Cipta (copyright) -Hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pemilik karya seperti karya sastera, seni, muzik, rakaman bunyi, filem dan siaran untuk mengawal karya tersebut bagi satu tempoh yang telah ditetapkan.
• Reka Bentuk Perindustrian -Ciri-ciri rupa bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan terhadap suatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian yang mana ciri pada barang yang disiapkan adalah menarik di pandangan mata.
• Petunjuk Geografi-Petunjuk yang mengenal pasti indikasi dari mana sesuatu barang itu berasal di mana kualiti kerja, reputasi atau lain-lain ciri barang tersebut dikaitkan dengan tempat asal ianya dikeluarkan.
• Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu-Susunan tiga dimensi unsur-unsur sesuatu litar bersepadu yang disediakan bagi sesuatu litar bersepadu yang dimaksudkan untuk di kilang.
• Pembaharuan Utiliti (utility innovation) -Pembaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap sesuatu reka cipta ‘minor’ yang tidak memerlukan ujian langkah merekacipta sebagaimana yang diperlukan untuk mendapatkan paten.
• Maklumat Perdagangan/Maklumat yang Tidak Diketahui (trade secret / undisclosed information) - Merupakan maklumat yang amnya tidak diketahui dikalangan atau yang tersedia ada kepada mereka yang selalunya berurusan dengan jenis maklumat yang sedemikian dan yang mempunyai nilai komersil kerana maklumat tersebut adalah rahsia dan mereka yang mempunyai kuasa kawalan ke atas maklumat tersebut telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyimpan maklumat tersebut sebagai rahsia.
Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta. Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.
Di Malaysia produk yang dicipta perlulah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) iaitu salah sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
0 comments:
Post a Comment